Tun Dr Mahathir Mohamad mempertikaikan penjelasan bahawa RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak adalah derma daripada Timur Tengah.
Secara sinis beliau berkata, jika “tok Arab” itu gila sekali pun, pasti beliau tidak akan menderma sejumlah wang yang amat banyak itu.
“Saya akan hadir ke mesyuarat agung Umno bagi mendengar (mengenai kewangan parti), yang mana bendahari mesti ikut peraturan jelaskan kewangan Umno, ada atau tidak RM2.6 bilion?
“Kalau tidak ada, di mana (duit itu)? (Kalau) duit itu dari tok Arab, saya ingat tok Arab itu gila,” katanya.
Malah, katanya, pengalaman beliau sendiri meminta derma, seperti untuk penubuhan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) sebelum ini amat sukar.
“Tahu dari negara mana (yang bagi)? Kosong, katanya sambil disambut gelak ketawa peserta dalam acara di Kuala Lumpur bersama Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin sebentar tadi.
Sementara itu, Mahathir juga berkata pernah meminta derma bagi menyiapkan dewan Pusat Islam namun tidak ada negara yang sudi memberikan sumbangan.
“Saya tulis surat, semasa itu saya belum jadi perdana menteri, tulis surat minta derma untuk kita sudahkan dewan saya cuma dapat jawapan dari Libya, lain-lain negara tidak jawab.“Saya tidak dapat satu sen, (yang saya minta) ini untuk Islam.“Tiba-tiba Datuk Seri Najib dapat RM2.6bilion,” sindirnya.
No comments:
Post a Comment