PARIS – Kumpulan bersenjata dan pengebom menyerang restoran, bar dan dewan konsert di beberapa lokasi di bandar raya ini pada Jumaat malam menyebabkan lebih 140 kematian setakat ini, lapor media Perancis.
Presiden Perancis, Francois Hollande susulan itu telah mengisytiharkan darurat di kawasan Paris dan mengarahkan penutupan semua pintu sempadan bagi mengelakkan penyerang dapat meloloskan diri.
Beliau juga membatalkan lawatan rasminya ke Turki yang dijadulkan untuk menyertai Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20).
Dalam pada itu, angka kematian dikatakan sudah meningkat kepada 140 orang akibat serangan berkenaan.
Kira-kira 100 orang dikatakan terbunuh di dewan konsert Bataclan manakala 40 lagi di beberapa lokasi lain, kata pihak berkuasa.
Ketika kejadian, Hollande sedang menyaksikan perlawanan bola sepak dengan Menteri Luar Jerman, Frank-Walter Steinmeier apabila beberapa letupan berlaku di luar stadium nasional.
Beliau menyifatkan serangan itu sebagai luar biasa dan tidak pernah berlaku sebelum ini.
Beberapa pihak menyifatkan ia adalah serangan terancang terhadap Perancis, antara negara sekutu dengan Amerika Syarikat (AS) yang melancarkan serangan terhadap militan Negara Islam di Iraq dan Syria.
Perancis sememangnya sudah membuat persiapan rapi serangan pengganas menjelang sidang kemuncak iklim yang akan berlangsung hujung bulan ini.
Presiden AS, Barack Obama dan Canselor Jerman, Angela Merkel menyertai kalangan pemimpin dunia lain termasuk Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon, mengutuk serangan keji itu.
Julien Pierce, seorang wartawan radio Europe 1 yang berada dalam dewan konsert ketika tembakan bermula, menceritakan kejadian itu dalam kiriman menerusi laman web stesen radio itu.
Mengikut Pierce, beberapa orang muda yang tidak memakai topeng, masuk ke dewan ketika konsert sedang berlangsung dengan bersenjatakan senapang Kalashnikov, mula menembak secara rambang ke arah penonton.
“Mayat bergelimpangan di mana-mana,” katanya.
Media Perancis melaporkan, lima lagi serangan serentak di beberapa lokasi lain pada masa sama di sekitar pusat bandar Paris termasuk di luar stadium Stade de France.
Setakat ini belum ada pihak yang mengaku sebagai bertanggungjawab terhadap serangan itu. – Reuters
No comments:
Post a Comment