Monday, 30 November 2015

Siti Nurhaliza redha kandungan keguguran, anggap ujian dekatkan diri dengan Allah...



KUALA LUMPUR: Penyanyi nombor satu negara Datuk Siti Nurhaliza Tarudin membuat kenyataan terbuka mengenai kehamilannya sekaligus memberikan bayangan mengenai status terkini kandungannya itu.

Selepas 9 tahun membina mahligai bersama Dato' Sri Khalid Mohamad Jiwa, peminat dunia hiburan menerima khabar gembira mengenai kehamilan penyanyi nombor satu negara itu awal November lalu.

Biarpun tiada pengesahan daripada mulut Siti sendiri, namun beberapa akhbar dan portal media melaporkan pengakuan sumber-sumber terdekat dengan Siti untuk mengesahkan berita tersebut.

Namun hari ini semua spekulasi terjawab apabila penyanyi kesayangan ramai itu melakar satu status bergambar menerusi laman sosial Instagram @ctdk miliknya sekaligus menjawab setiap persoalan yang berlegar-legar di fikiran peminatnya selama ini.

Dalam status yang dimuat naik sekitar pukul 10 pagi tadi, Siti berkata dia redha dengan apa yang berlaku dan tetap bersyukur dengan anugerah yang dipinjamkan sementara buatnya.

"Ternyata Allah SWT hanya pinjamkan anugerah ini untuk seketika sahaja. Hanya sempat selama dua bulan saya kandungkan dan Khamis minggu lepas saya keguguran. Saya redha dan jauh di sudut hati amat bersyukur kerana Allah SWT telah memberikan saya jawapan di atas setiap doa. InsyaAllah ia permulaan untuk anugerah yang seterusnya," nukil penyanyi itu di akaun Instagramnya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Biarlah Rahsia itu turut teguh dengan pendiriannya selama ini tentang mengapa beliau mendiamkan diri ketika berita kehamilannya heboh diperkatakan.

"Ada sebabnya Siti enggan mengiyakan atau menafikan berita kehamilan tersebut. Usia kandungan pada waktu itu masih terlalu "fragile". Saya hanya menantikan waktu yang sesuai untuk mendedahkan berita gembira itu, namun takdir Allah telah tertulis," ujarnya.

TONTON: Adakah benar Datuk Siti Nurhaliza hamil?

Tanpa menjelaskan secara terperinci mengenai berita sedih itu, Siti nyata tetap positif malah menyifatkan apa yang berlaku lebih mendekatkan dan meningkatkan keimanan dirinya kepada Allah SWT.

Biduanita muda itu juga tidak lupa mengucapkan terima kasih atas doa dan kata-kata semangat daripada suami, keluarga, peminat dan masyarakat buat dirinya.

"Siti yakin pada perancang terbaik dalam hidup Siti iaitu Allah SWT," ujarnya ringkas.
"Selepas habis berpantang, Siti akan menjalani jadual harian seperti biasa. Siti hanya ingin berehat buat masa sekarang. Saya pohon pengertian semua pihak bagi diberikan sedikit ruang untuk saya berehat sebelum mula bekerja seperti biasa." akhiri penyanyi itu.

Datuk Siti Nurhaliza dan suaminya, Dato' Sri Khalid Mohamad Jiwa, melangsungkan penikahan pada 21 Ogos 2006.

No comments:

Post a Comment